Gadis Sudah Mati Menang Kes Mahkamah Tuntut Mayat Dibeku Untuk Dihidupkan Semula


MAYAT gadis dinamakan sebagai Patient 143 itu kini ditempatkan di unit penyimpanan di Institut Cryogenics di Michigan, Amerika Syarikat. AGENSI


LONDON 18 Nov. – Hasrat seorang gadis Britain yang sudah meninggal dunia untuk diawet kini menjadi kenyataan apabila dia memenangi kes mahkamah pertama di dunia yang menuntut supaya mayatnya dibekukan.

Gadis itu yang tidak dinamakan, meninggal dunia bulan lalu akibat kanser namun dia sempat menghadiri perbicaraan menuntut supaya mayatnya diawet dan dibekukan.

Portal BBC melaporkan, ibu kepada gadis itu berhak melakukan apa sahaja prosedur terhadap mayat anaknya yang telah diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS) selepas meninggal dunia di London.

Dalam perbicaraan yang berlangsung sebelum kematiannya, gadis itu mahu jasadnya dibekukan menerusi kaedah cryonics dengan harapan dia boleh dihidupkan semula pada masa depan.

Difahamkan, kaedah cryonics menelan kos sebanyak 37,000 pound (RM201,414) dan jasad remaja perempuan tersebut kini dikenali sebagai ‘Patient 143’.

Butiran kesnya hanya didedahkan semalam.

Remaja itu juga dikatakan sempat melayari internet bagi mendapatkan maklumat tentang kaedah cryonics ketika bulan-bulan terakhir hayatnya.

Dalam wasiatnya, remaja itu menjelaskan kepada hakim bahawa dia mahu hidup lama dan tidak mahu dikebumikan di dalam kubur.



“Saya percaya teknik pembekuan ini memberi peluang kepada saya untuk pulih dan hidup semula walaupun dalam tempoh beratus-ratus tahun lagi,” katanya.


Hakim, Justice Peter Jackson berkata, keputusannya dalam kes itu bukan tentang hak atau kesalahan kaedah cryonics namun ia adalah tentang pertikaian antara ibu bapa gadis berkenaan yang telah berpisah.

Ketika ini, hanya AS dan Rusia mempunyai kemudahan cryonics yang membolehkan mayat diawet dalam cecair nitrogen pada suhu rendah iaitu kurang -130 darjah Celcius.

0 ulasan :

Post a Comment