Polis siasat 3 gadis duduk pada tingkap kereta di Genting



 http://koleksicikgusuraya.blogspot.my/


BENTONG 28 Ogos – Polis memandang serius tindakan berbahaya pengguna jalan raya yang mengeluarkan badan dan duduk di tingkap kereta ketika kenderaan itu sedang bergerak sambil dipercayai berselfie di Jalan Genting Highlands di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden S. Somu berkata, siasatan sedang dilakukan termasuk mengenal pasti identiti mereka yang melakukan perbuatan itu.
Tindakan tersebut diambil susulan rakaman perbuatan tiga penumpang kenderaan itu yang menjadi viral di laman media sosial.
“Kejadian dipercayai melibatkan tiga penumpang wanita yang duduk di bahagian tingkap kereta semasa kenderaan itu sedang bergerak ke puncak Genting Highland yang telah viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
 http://koleksicikgusuraya.blogspot.my/

“Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan, tetapi berdasarkan rakaman, laluan dipercayai di daerah Bentong iaitu jalan menuju ke Genting Highlands,” katanya di sini hari ini.
Menurut Somu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya.
Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Peraturan 4A Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 bagi penumpang kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
“Kita minta mana-mana individu yang merakam kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat lanjut untuk membantu siasatan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Asisten Superintenden Safie Yasin di talian 012-7045464,” katanya.
sumber : UTUSAN ONLINE

0 ulasan :

Post a Comment