ISTERI CURANG
KUALA LUMPUR: Ayu wajahnya manakala kerjayanya dianggap mulia, namun peribadinya tidak seiring dengan kelebihan itu.
Ahad lalu, sekitar jam 2 pagi, wanita berusia pertengahan 30-an itu yang bekerja sebagai guru dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki bukan muhrim di sebuah rumah. Lebih mengejutkan, apabila disiasat, ‘guru terlampau’ itu rupa-rupanya isteri orang dan mempunyai dua anak.
Bagi membuktikan kebenaran, wartawan Metro Ahad menjejaki dan berjaya menemui suami wanita itu. Sebagai pengajaran dan teladan kepada masyarakat, lelaki terbabit sudi berkongsi kisah dukanya beristerikan guru itu.
Ikuti luahan suami berusia pertengahan 30-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Imran.
“Selama 16 tahun melayari hidup sebagai suami isteri, saya lebih banyak menderita daripada bahagia dan hanya dapat merasai nikmat sebagai suami pada enam bulan pertama perkahwinan kami. Kena maki dengan isteri sudah menjadi kebiasaan bagi saya.
Terus terang saya katakan, walaupun perkahwinan kami atas dasar suka sama suka, isteri mula berubah selepas enam bulan berkahwin. Entah mengapa tanpa perasaan bersalah dia memberitahu dia teringat bekas teman lelakinya.
Dia juga asyik membandingkan saya dengan bekas teman lelakinya yang dikatakannya banyak wang. Malah, saya tidak malu untuk memberitahu, isteri bersikap dingin dalam memenuhi kehendak batin saya, suaminya yang sah.
Namun kerana rasa sayang mendalam, saya terima segala perbuatannya. Saya berusaha memberi lebih kesenangan kepadanya dengan melakukan kerja sambilan walaupun ada kerja tetap sebagai guru.
Saya ambil kelas jahitan secara sambilan dengan harapan dapat membuka perniagaan menjahit pakaian. Apabila saya ada kemahiran, isteri suruh berhenti kerana cemburu kelas jahitan itu ramai wanita.
Saya kemudian belajar menjadi mekanik dengan seorang rakan di sebuah bengkel. Saya ambil upah membaiki kenderaan secara sambilan. Tiga bulan melakukan pekerjaan itu, isteri suruh berhenti kerana kononnya rimas dengan bau badan yang berlumuran minyak.
Buntu untuk melakukan kerja sambilan, saya berusaha sambung belajar sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana. Dalam keadaan mampu menikmati kehidupan selesa, isteri masih tetap dengan sikap degil dan suka melawan.
Ada saja benda yang dia tidak puas hati. Saya tidak tahu apa masalah dia. Segala keperluan saya beri secukupnya. Tidak pernah saya abaikan tanggungjawab saya.
Saya tertekan dan pernah dua kali pengsan, tetapi isteri buat tidak tahu. Jiran yang menghantar saya ke hospital. Isteri juga kurang memberi perhatian kepada anak.
Sejak dua tahun lalu, ketika saya sibuk menjaga ibu yang sakit di kampung, isteri jadi semakin ‘ligat’. Memandangkan saya kerap ke rumah ibu, isteri saya sesuka hati keluar rumah. Keluar petang tetapi balik lewat malam dan ada ketikanya sampai jam 1 pagi.
Apabila ditegur, dia melawan, malah saya dimarahi. Saya pasrah. Cuti sekolah hujung tahun lalu, isteri bawa dua anak kami pulang ke kampung. Sepanjang cuti sekolah itu, saya langsung tidak dapat menghubungi anak dan isteri tidak benarkan saya berjumpa anak.
Saya tidak tahu apa salah saya. Malah, isteri ada menghubungi meminta supaya saya menceraikannya dengan talak tiga tanpa menyatakan sebarang alasan. Habis cuti sekolah, saya berpeluang bertemu anak. Betapa luluhnya hati saya apabila anak beritahu, ibunya menggelar saya dengan panggilan ‘arwah’ sebagai lambang kononnya saya sudah berpisah dengannya.
Daripada mulut rakan dan penduduk setempat, saya mendengar banyak cerita kurang enak mengenai isteri. Ada yang mendakwa melihat isteri dengan lelaki lain.
Kerana sayangkan isteri, saya tidak mempercayai dakwaan itu. Hinggalah satu ketika, isteri mengunci anak di rumah dan dia keluar entah ke mana.
Dalam suasana ribut petir, anak menghubungi saya dalam ketakutan dan memberitahu ibu meninggalkan mereka di rumah dalam keadaan pintu berkunci. Saya yang ketika itu menjaga ibu yang sakit segera pulang ke rumah. Saya buat laporan polis mengatakan saya mengambil anak yang dikunci di dalam rumah.
Saya pecahkan pintu dan ambil anak. Saya menanti kepulangan isteri dan dia pulang ke rumah kira-kira jam 1 pagi selepas keluar rumah dari jam 2 petang. Bayangkan apa akan terjadi kepada anak saya jika saya tidak mengambil mereka.
Perangai isteri semakin menjadi-jadi. Saya diberitahu rakan, isteri saya dilihat bersama lelaki lain ketika itu. Anak pula beritahu ibu juga selalu berhubung dengan seorang lelaki.
Akhirnya saya akur, ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri saya. Lebih membuatkan saya kecewa dengannya, dia membuat laporan palsu kepada polis kononnya saya mengancam keselamatannya. Hakikatnya saya tidak pernah mengancam keselamatannya, sebaliknya saya menyayanginya.
Dia juga beritahu orang lain, dia bukan lagi isteri saya. Saya akui kami pernah bercerai Mac tahun lalu tetapi kami rujuk semula sebulan kemudian. Saya ada bukti.
Kemuncak kepada kecurangannya, saya diberitahu bahawa isteri ditangkap khalwat. Sebagai suami, saya benar-benar terkejut dan kecewa. Apa lagi yang boleh saya katakan, madu dibalas tuba! Namun jauh di sudut hati, perasaan sayang masih ada. Apapun, selepas kejadian khalwat itu saya rela meninggalkannya.” -Metro
0 ulasan :
Post a Comment