GAMBAR menunjukkan sebahagian daripada enjin pesawat Southwest Airlines 3472 yang dipercayai tercabut ketika berada di udara. AGENSI |
Daily Mirror melaporkan, kejadian tersebut berlaku ketika pesawat Southwest Airlines 3472 itu berada pada ketinggian beberapa ribu kaki dari aras laut.
Pesawat jenis Boeing 737 itu terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pensacola, Florida, awal pagi semalam.
Beberapa orang penumpang kemudian berkongsi detik-detik mencemaskan ketika menaiki pesawat berkenaan.
Seorang wanita dari Oklahoma yang menaiki penerbangan itu bersama suami dan tiga orang anaknya termasuk seorang bayi berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian luar pesawat itu.
“Letupan itu agak kuat disusuli kepulan asap. Saya melihat ada objek daripada pesawat ini seperti tercabut kerana saya berada berhampiran tingkap.
“Saya peluk anak-anak saya dan salah seorang daripada mereka menangis dengan kuat. Kami menyanyi dan berdoa untuk menenangkan hati masing-masing,” katanya kepada KOCO 5.
Seorang jurucakap Southwest Airlines yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, penerbangan tersebut terpaksa dilencongkan ke Pensacola disebabkan masalah teknikal melibatkan enjin utama pesawat.
“Berdasarkan laporan yang kami terima, tidak ada seorang pun daripada 99 penumpang dan lima anak kapal cedera ekoran insiden tersebut.
“Kami juga telah memaklumkan perkara ini kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) yang akan memeriksa kerosakan dialami oleh pesawat ini,” katanya.
Jelas jurucakap itu, ketika ini pesawat berkenaan masih tidak dapat digunakan dan penumpang dibawa ke destinasi menaiki kapal terbang lain.
0 ulasan :
Post a Comment