Malaysia Jangan Masuk Campur Urusan Myanmar



SHAH ALAM - Myanmar menegaskan agar Malaysia tidak masuk campur hal dalaman negara yang sedang berhadapan krisis penghapusan etnik Rohingya itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, esok.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay berkata, Malaysia perlu menghormati kedaulatan negara mereka supaya tidak mencampuri hal dalaman negara Asean.

“Kami patuh dan menghormati prinsip itu. Kami berharap kerajaan Malaysia juga mematuhinya,” kata Zaw Htay kepada Myanmar Times.

Perhimpunan besar-besaran itu juga bakal disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas demonstrasi di luar Kedutaan Myanmar pada 25 November lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan suatu demontrasi bantahan yang akan dihadiri pimpinan negara, termasuk perdana menteri, akan diadakan pada Ahad bagi menyuarakan kebimbangan akan keganasan ke atas Rohingya di Myanmar.

Katanya, kita tidak akan berpeluk tubuh sementara ribuan orang Rohingya dibunuh dalam pembersihan etnik yang dibenarkan pemerintah mereka.

“Kekejaman oleh negara anggota Asean tidak boleh dibiarkan dan kita langsung tidak ada niat untuk mencampuri hal dalaman mereka (Myanmar),” katanya.

Zaw Htay sebelum ini menuduh demonstrasi di luar kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur adalah bentuk politik yang diatur untuk menarik sokongan rakyat Malaysia.

Sumber: sinarharian

0 ulasan :

Post a Comment