ABANG KUCING CABAR KEJANTANAN JAMAL



Jadilah anak jantan dan buat benda yang betul - itu mesej yang disampaikan sekumpulan 'pejuang' yang mencabar ketua Baju Merah untuk beradu kekuatan secara budiman.

Menggelarkan diri mereka Gabungan Pejuang Rakyat Demi Negara, jurucakap kumpulan itu Sharul Nizam Abdul Rahim berkata tujuan utama mereka membuat cabaran itu adalah untuk menegaskan pendirian mereka terhadap aktiviti membuli.

Katanya awal bulan ini dia pernah melontarkan cabaran kepada Jamal tetapi sehingga kini tidak ada reaksi daripada ketua Umno Sungai Besar itu.

Cabaran sama, katanya, dibuat kepada orang kanan Jamal, Razali Zakaria.



"Saya atas nama Abang Kucing Antibuli menyusun wira rakyat untuk mencabar Datuk Seri Jamal Yunos masuk dalam gelanggang (dan beradu kekuatan).

"Daripada bergaduh macam samseng, saya nak ubah jadi pergaduhan yang sah," katanya pada sidang media di Kota Damansara, Selangor hari ini.

Jamal sebelum ini aktif menggerakkan kumpulan Baju Merah mengekori konvoi BERSIH menjelang perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Beberapa insiden kekasaran tercetus membabitkan pengikutnya dan penyokong BERSIH.

Ada antara insiden itu malah melibatkan kekasaran kepada wartawan dan jurugambar.

Jamal turut diingati kerana memberi pelbagai amaran dan ancaman termasuk terhadap Malaysiakini.

Sebelum BERSIH5 berlangsung Jamal dan beberapa penyokongnya memuat naik klip video menunjukkan kehebatan mereka bersilat serta menahan pukulan kayu serta pedang.

Buktikan kekuatan dalam gelanggang

Sharul Nizam berkata Jamal dan penyokongnya sering membuli wanita dan orang tua yang tidak berdaya mempertahankan diri.

"Saya berkelana dari Semenanjung Malaysia hingga Sabah, Sarawak, susun barisan pejuang yang sanggup bertarung lawan Jamal.

"Abang Kucing beri masa sebulan kepada Jamal untuk jawab. Kalau jawapan dia ya, kita boleh bina gelanggang yang sah (untuk bertarung)," katanya.

Ditanya bagaimana pendirian mereka jika Jamal menolak cabaran itu, Shahrul Nizam berkata: "Kalau tak jawab (cabaran), cukuplah sampai di sini. Jangan tunjuk samseng lagi."

Jika bersetuju kata Shahrul Nizam, Jamal bukan saja bebas memilih lawannya malah dibenarkan memilih jenis seni bela diri yang akan digunakan, sama ada silat, tinju, tae kwan do atau sebagainya.

Sementara itu seorang daripada calon lawan Jamal yang memperkenalkan dirinya sebagai Alexander berkata dia sedia berdepan dengan ahli politik itu bersendirian atau beramai-ramai.

"Saya bukan samseng. Saya pencinta haiwan tetapi saya terima cabaran (untuk bertarung dengan Jamal)," katanya yang berasal dari Sabah.

Ada kira-kira 200 'pejuang' hadir semasa sidang media itu dan setiap seorang mendapat latihan seni bela diri yang pelbagai.

Ketua mereka, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata beliau dihubungi untuk membantu menganjurkan perlawanan berkenaan dan bersetuju selepas memikirkan ia adalah langkah yang sesuai menghadapi taktik Jamal yang membuli orang lain.

"Cabaran Abang Kucing ini mesti disahut Jamal untuk dia membuktikan kekuatan, kekebalan dia dalam gelanggang," katanya.

Sumber: malaysiakini

0 ulasan :

Post a Comment