Pantang Larang Buaya Di Sarawak



Zaman dahulu masyarakat hanya dihiburkan oleh penglipur lara yang mempunyai cara penceritaan yang menekankan pantang larang berkaitan alam, haiwan dan sebagainya.

Dari mulut ke mulut hingga ke generasi hari ini masih ada warga tua menceritakan berkisarkan pantang larang.


Yang sering menjadi bahan cerita ialah berkaitan dengan pantang larang sang buaya di Sarawak.

Masyarakat Bumi Kenyalang sering beranggapan buaya sejenis reptilia liar yang mempunyai sifat pendendam.


Ini kerana mengikut kepercayaan etnik di Sarawak, buaya mempunyai kaitan dengan manusia kerana terdapat cerita mengatakan ada manusia menjadi buaya apabila berkahwin dengan buaya.


Oleh itu terdapat pelbagai pantang larang mengikut kepercayaan etnik di Sarawak.

Seperti kepercayaan masyarakat Iban pada masa dahulu, buaya tidak boleh dibunuh jika tidak mengganggu masyarakat mereka.


Jika ada buaya yang membunuh masyarakat mereka terlebih dahulu, maka masyarakat Iban menghalalkan darah daging mereka membunuh keturunan buaya tersebut selama tujuh generasi.


Begitu juga sebaliknya berlaku apabila mereka membunuh buaya yang tidak mengganggu, maka tujuh keturunan mereka akan diburu oleh buaya tersebut.


Pantang larangnya bagi masyarakat Iban adalah jangan membunuh buaya yang tidak mengganggu mereka.


Bagi masyarakat lain pula ada yang mempunyai kepercayaan bahawa tidak boleh mudik ke hulu ketika airnya sedalam paras lutut. Ini kerana paras air sedalam paras lutut jarang berlaku dan jika ia berlaku menandakan buaya sedang mengawan.


Disebabkan itu dilarang untuk meneruskan perjalanan mudik ke hulu kerana menurut kepercayaan mereka, buaya tidak mahu dilihat ketika mengawan. Jika ada manusia yang melihat maka buaya tersebut akan mencari keturunan manusia tersebut untuk dikahwinkan dengan keturunan buaya.


Inilah serba sedikit pantang larang yang menjadi kepercayaan sebilangan masyarakat di Sarawak. Kesahihan cerita tersebut tidak dapat dipastikan kerana ia hanyalah penceritaan dari mulut ke mulut tetapi masyarakat masih mengamalkan pantang larang tersebut.

Sumber: Sarawakiana

0 ulasan :

Post a Comment