Setia Saya Tercalar Bila Suami Layan Bekas Isteri


 http://koleksicikgusuraya.blogspot.my/

KEHIDUPAN berumah tangga memerlukan kesabaran dan ketabahan yang bukan sedikit. Tidak kena cara, musnahlah rumah tangga.
Namun, persefahaman dan tolak ansur harus memainkan peranan agar rumah tangga sentiasa dalam aman.
Dalam membina keharmonian rumah tangga, amat penting bagi setiap pasangan belajar menghargai kelemahan dan kelebihan diri masing-masing.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Kebanyakan kita apabila berkenalan hanya memandang yang cantik-cantik pada pasangan tetapi apabila sudah hidup bersama barulah kelemahan dan kekurangan pasangan dapat dilihat.
Ketika ini jika tidak pandai mengawal perasaan dan bertolak ansur pasti perkara kecil akan menjadi lebih besar.
Pun begitu ujian Tuhan tiada siapa mampu menolak. Sama ada suka atau tidak, ia harus diterima dengan reda dan berdoa agar segala kekusutan itu dapat di dileraikan dengan baik.
Demikian mukadimah saya yang panjang minggu ini yang ingin saya kaitkan dengan kisah yang dilalui oleh Yatie (bukan nama sebenar), berusia awal 30-an.
Menurut Yatie dia telah berpisah dengan suami pertamanya sejak 10 tahun lalu. Mereka mempunyai sepasang anak.
Takdir telah menemukan Yatie dengan seorang lelaki yang saya namakan Malik (bukan nama sebenar), duda juga mempunyai dua orang anak.
Hasil pertemuan singkat itu mereka telah saling jatuh cinta. Ikuti kisah Yati seterusnya.
“Perkenalan dengannya telah membuka pintu hati saya untuk menerimanya sebagai teman hidup.
“Saya nekad menerima dia sebagai suami kedua dengan harapan dapat menebus kesilapan perkahwinan yang pertama dulu.
“Pada awal perkahwinan, kehidupan saya sungguh bahagia, ke mana saja berdua, apa-apa yang ingin dilakukan pasti suami akan mengajak saya berbincang.
“Saya amat gembira hidup di sampingnya. Walaupun kehidupan kami agak sederhana saya berdoa agar rumah tangga yang saya bina kali ini akan bertahan sampai ke akhir hayat.
“Namun tidak semua keindahan yang dimimpikan itu akan menjadi kenyataan. Setelah setahun setengah menjadi suami isteri, ujian pertama datang dalam rumah tangga kami.
“Kehadiran semula bekas isterinya yang menagih kasih menjadikan suami lupa pada saya dan rumah tangga kami.
“Saya berusaha mencari puncanya dan apa yang saya dapat maklumat bekas isterinya itu telah diceraikan dengan talak tiga oleh suami barunya.
‘Lalu teringat saya akan perubahan yang berlaku pada suami sejak kebelakangan ini. Pada mula-mula mereka berpisah dulu, setiap bulan suami akan membawa saya bersama untuk mengambil anak-anaknya di rumah bekas isteri pada hujung minggu atau cuti umum.
“Tapi sejak akhir-akhir ini saya rasakan keadaan dalam rumah tangga kami menjadi dingin. Suami kerap berbohong dengan saya.
“Dia tidak lagi mengajak saya untuk ke rumah bekas isterinya mengambil anak-anaknya. Setiap kali keluar rumah alasan yang dia beri adalah untuk ke rumah kawan-kawan atau bersukan.
“Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya akhirnya menyiasat sendiri. Saya ikut keretanya dan sah dia ke rumah bekas isterinya untuk bersama anak-anak dan bekas isterinya itu.
“Seminggu saya simpan perasaan marah saya. Keadaannya tidak juga berubah. Macam-macam alasan yang dia berikan untuk bersama bekas isterinya itu. Malah saya juga terbaca mesej daripada bekas isterinya itu yang menulis perkataan yang tidak sepatutnya dan mencabar kesabaran saya sebagai isteri.
“Satu hari saya nekad untuk ke rumah bekas isterinya itu dengan harapan untuk menyelesaikan kemelut yang kami hadapi.
“Sedihnya hati saya sebab suami langsung tidak terkejut melihat kehadiran saya. Dia sebaliknya menyebelahi bekas isterinya itu dan menghalau saya pulang.
“Bayangkan perasaan saya diperlakukan seperti itu. Hancurnya hati saya saat itu. Dahulu semasa merayu untuk menikahi saya, suami menangis kerana terlalu cintakan saya tapi dalam sekelip mata dia beralih kasih.
“Selepas kejadian itu fikiran saya tidak tenang. Saya hanya memikirkan untuk berpisah sahaja dan kembali hidup bersendirian.
“Kerana sedih dan tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk, saya membawa diri ke rumah orang tua saya. Sepanjang di sana suami langsung tidak ambil peduli malah dia semakin mesra bersama bekas isterinya itu.
“Puas saya berdoa meminta agar dia kembali memujuk atau sekurang-kurangnya bertanya khabar namun sia-sia belaka. Sehingga catatan ini saya tulis, dia masih tidak datang.
“Hancur luluh hati saya. Pengorbanan saya selama ini tidak dihargai dan inilah balasannya yang saya dapat.
“Saya memohon kepada Allah agar dipertahankan jodoh kami. Saya juga mengharapkan agar suami akan sedar dan insaf dengan perbuatannya.
“Sebagai isteri saya tidak mahu melihat dia melakukan dosa. Namun jika dia tidak memerlukan saya lagi dalam hidupnya saya reda. Bebaskan saya dengan cara baik. Ketentuan Tuhan dan takdir akan saya terima dengan tabah.
“Pada saya buat apa lagi tinggal sebumbung jika kemesraan sebagai suami isteri sudah tidak ada. Apalah erti rumah tangga kiranya kemanisan sudah tawar dan senyum menjadi pahit.
“Siang malam saya berdoa kepada Tuhan agar suami akan sedar perbuatannya itu. Kepada suami, insaflah abang dan kembalilah ke pangkal jalan,’’ kata Yatie menamatkan ceritanya.
Kisah seperti Yatie bukan sekali dua yang saya terima. Begitulah kebanyakan perkahwinan yang dilalui antara duda dan janda. Kalau baik caranya akan bahagialah mereka dan jika salah seorang memungkiri janji, maka akan meranalah yang satu lagi.
Pun begitu kepada Yatie, jangan lekas berputus asa. Masih ada jalan untuk menyelamatkan rumah tangga anda. Elok dapatkan pandangan pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil. Pada masa yang sama berusahalah menambat hatinya semula sama seperti mana anda mengenalinya dulu.
Seperkara lagi jangan tinggalkan rumah apabila berlaku perselisihan faham dengan suami kerana ia akan menambah kekusutan. Seelok-eloknya duduk berbincang dan bercakap dari hati ke hati.
Saya pasti suami anda masih sayangkan anda, jadi jangan fikirkan lagi soal hendak berpisah. Berusaha dulu menyelamatkan rumah tangga anda daripada memikirkan perkara yang boleh memberi kesan pada kemudian hari. Ingatlah Allah sentiasa mendengar permintaan hamba-Nya yang perlukan bantuan.
Menutup kata, sepatah kata daripada saya: “Apabila pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain masih ada yang dibukakan untuk kita. Tetapi sebagai manusia kita acap kali hanya terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga terlupa untuk melihat pintu lain yang turut terbuka untuk kita masuk dan mencuba nasib. Dari itu, fikir-fikir dan renungkanlah!”
Salam

0 ulasan :

Post a Comment